Friday, April 25, 2008

Asma' Binti Abu Bakar

Asma binti Abu Bakar, turut dikenali sebagai wanita besi yang berumur panjang. Nama wanita ini pendek sahaja, tetapi, perjalanan hidupnya tidak pendek seperti namanya. Allah memberinya umur panjang dan kecerdasan berfikir, hingga dia dapat mewarnai perjalanan hidup generasi tabiin (pengikut Rasulullah) dengan perjalanan kehidupan pada zaman Rasulullah. Asma´, termasuk kelompok wanita yang pertama masuk Islam. Permulaan Asma´ tidak boleh dipisahkan dengan peristiwa hijrah Rasulullah dan ayahnya Abu Bakar.

Dialah yang mengirimkan bekalan makanan dan minuman kepada mereka. Lantaran peristiwa inilah, Asma´ digelar sebagai "dzatun nithaqain" yang membawa maksud wanita yang mempunyai dua ikat pinggang.

Gelaran ini diberikan ketika Asma´ hendak mengikat karung makanan dan tempat minuman yang akan dikirim kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Pada waktu itu, Asma´ tidak memiliki tali untuk mengikatnya, maka dia memotong ikat pinggangnya menjadi dua, satu untuk mengikat karung makanan dan satu lagi untuk mengikat tempat air minum. Ketika Rasulullah mengetahui hal ini, baginda berdoa semoga Allah akan menggantikan ikat piinggang Asma´ dengan dua ikat pinggang yang lebih baik dan indah di syurga.

Asma´ berkahwin dengan Zubir bin Awwam, seorang pemuda dari golongan biasa yang tidak memiliki harta, kecuali seekor kuda. Namun demikian, Asma´ tidak kecewa. Dia tetap setia melayan suaminya. Sekiranya suaminya sibuk menyebarkan tugas daripada Rasulullah, Asma´ tidak segan merawat dan menumbuk biji kurma untuk makanan kuda suaminya. Hasil perkahwinannya, Allah menganugerahi mereka seorang anak yang cerdas yang diberi nama Abdullah bin Zubir.

Asma´ memiliki beberapa sifat istimewa. Selain cantik, dia mempunyai sifat yang hampir sama dengan dengan saudaranya Aisyah, cerdas, pantas dan lincah. Sifatnya yang pemurah menjadi teladan kepada ramai orang. Waktu terus berlalu, anaknya Abdullah bin Zubir diangkat menjadi Khalifah menggantikan Yazid bin Mu´awwiyah yang wafat. Bani Umaiyah tidak rela dengan kepemimpinan Abdullah bin Zubir. Mereka menyiapkan tentera yang besar dalam pimpinan Panglima Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi untuk menggulingkan Khalifah Abdullah bin Zubir. Perang di antara dua kekuatan itu tidak dapat dihindari. Lalu, Abdullah bin Zubir turun ke medan perang untuk memimpin pasukannya.

Tetapi, tenteranya belot dan pergi kepada pihak Bani Umaiyah. Akhirnya, dengan jumlah tentera yang sedikit, pasukan Abdullah binZubir undur ke Baitul Laham, bersembunyi di bawah Kaabah. Beberapa saatsebelum kekalahannya, Abdullah bin Zubir menemui ibunya.

Ibunya bertanya,"Mengapa engkau datang ke sini, padahal batu besaryang dilontarkan pasukan Hajjaj kepada pasukanmu menggetarkan seluruhkota Makkah?

"Aku datang hendak meminta nasihat daripada ibu," jawab Abdullah dengan rasa hormat.

"Mengenai apa?" tanya Asma´ lagi.

"Tentera aku banyak yang belot. Mungkin kerana takut kepada Hajjaj atau mungkin juga merekamenginginkan sesuatu yang dijanjikan. Tentera yang ada sekarangnampaknya tidak akan sabar bertahan lebih lama bersama aku. "Sementara itu, utusan Bani Umaiyah menawarkan kepadaku apa sajayang aku minta berupa kemewahan dunia, asal aku bersedia meletakkansenjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagaiKhalifah. Bagaimana pendapat ibu?"tanya Abdullah.

Asma´ menjawab dengansuara tinggi,"Terserah engkau, wahai Abdullah! Bukankah engkau sendiriyang lebih tahu tentang dirimu.

"Apabila engkau yakin dalam kebenaran, maka teguhkan hatimu sepertitentera engkau yang gugur. Tetapi apabila engkau menginginkan kemewahan dunia, tentu engkau seorang lelaki yang pengecut. Bererti engkau mencelakakan diri sendiri, menjual murah sebuah kepahlawanan."

Abdullah bin Zubir, menundukkan kepala di depan ibunya yang kecewa. Ibunya, walaupun tua dan buta, namun Abdullah seorang khalifah dan panglima yang gagah berani tidak sanggup melihat wajah ibunya kerana rasa hormat dan kasih kepadanya.

"Tetapi aku akan terbunuh hari ini, ibu,"kata Abdullah lembut.

"Itu lebih baik bagimu, daripada engkau menyerahkan diri kepadaHajjaj. Akhirnya kepala kamu akan dipijak-pijak oleh Bani Umaiyah dengan memberikan janji mereka yang sukar untuk dipercayai,"kata ibunya tegas.

"Aku tidak takut mati, ibu! Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazah aku dengan kejam," ujar Abdullah lagi.

"Tidak ada apa yang perlu ditakuti dengan perbuatan orang hidup terhadap orang mati. Bukankah kambing yang disembelih tidak merasa sakit lagi ketika disiat?" jawab Asma´.

"Yang ibu khuatir kalau engkau mati di jalan yang sesat," sambung Asma´ lagi.

"Percayalah ibu, aku tidak memiliki fikiran sesat untuk melakukan perbuatan keji. Aku tidak akan melanggar hukum Allah. Aku bukan pengecut dan aku lebih mengutamakan keredhaan Allah dan keredhaan ibu," ucap Abdullah bersemangat.

Nasihat Asma´ memberi semangat kepada Abdullah untuk mempertahankan dan membela kebenaran. Sebelum matahari terbenam, Abdullah mati syahid menemui Allah.

Tuesday, April 15, 2008

Pesanan Untuk Muslimah

Pesanan Untuk Muslimah

oleh : Daie Cyber

1. Pertama urusan yang ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajibannya atau tidak).

2. Apabila lari wanita dari rumah suaminya tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya (meminta ampun).

3. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.

4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Sabna Nabi s. a. w. : Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia.

5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanitayang halal nikah kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli).

6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah s. a. w. bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r. ha. dan Maimunah r. ha.), datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s. a. w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, "Bukankah orang itutidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah ?" Rasulullah s. a. w. menjawab,"Bukankah kamu dapat melihatnya."

7. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur baginya.

8. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya, maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.

9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada dirumah serta tidak seizinnya dan tidak boleh memasukkan seseorang lelaki ke rumahnya dengan tidak seizin suaminya.

10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, samada miskin atau kaya.

11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa (kerana sesuatu urusan yang mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan ditepi-tepinya.

12. Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat ke pagi.

13. Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia sekalian.

14. Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan, maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.

15. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat kebelakang tengkoknya.

16. "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakkan ahli neraka ialah wanita." Rasulullah s. a. w. ditanyai, "Mengapa demikian Ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s. a. w. "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup."

17. "Kebanyakkan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Jawab Nabi s. a. w. "Tidak, mereka ini ialah mereka yang tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya."

18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki di dalam neraka dan 2 kali ganda seorang lelaki di dalam syurga.

19. "Kebanyakkan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api."

Hazrat Aishah bertanya, "Mengapa wahai Rasulullah s. a. w.?" Jawab Rasulullah s. a. w. :

i. Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja rumah.

ii. Tiada memuji (bersyukur) di atas kemurahan Allah yang didatangkan melalui suaminya. (Jarang terdapat orang perempuan yang mahu mengucapkan terima kasih di atas pemberian suaminya.)

iii Sering mengkufurkan (engkar) terhadap nikmat Allah. (Contohnya :Apabila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yang berkata sudah 10 tahun kahwin dengan awak tidak ada apa-apapun.)

iv Gemar bercakap perkara yang sia-sia yang berdosa. (Contohnya :bercakap mengenai perabot-perabot rumah yang tidak perlu dan mengumpat.)

v Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam agama iaitu mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki, rakan- rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahiriah.

20. Dari Ali bin Abi Talib r. a. : Aku dengar Rasulullah s. a. w. bersabda,

" Tiga golongan dari umatku akan mengisi nereka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah :-

a. Orang yang gemuk tapi kurus

b. Orang yang berpakaian tetapi telanjang

c. Orang yang alim tapi jahil

* Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.

* Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama.

* Orang yang alim tapi jahil ialah ulamak yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi.

21. Asma' binti Kharizah Fazari r. ha. diriwayatkan telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya itu, "Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu. Jadilah engkau tanah bagi suami mu (taat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik. Peliharalah benar-benar suami mu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja pada dirimu.

22. Pesanan Luqman kepada anaknya, "Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu :-

a. Apabila engkau sedang solat kepada Allah s. w. t. maka jagalah baik- baik fikiran mu.

b. Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagailah pandangan mu.

c. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidah mu.

d. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai mu.

e. Ingat kepada Allah s. w. t.

f. Lupakan budi baik mu pada orang lain.

g. Lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu.

h. Ingat kepada mati

23. Perkara-perkara yang menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminya seperti tersebut di dalam kitab Muhimmah :-

a. Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya samada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.

b. Keluar rumah tanpa izin suami samada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.

c. Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain. Dibolehkan keluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.

d. Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.

e. Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.

f. Bermasam muka ketika berhadapan dengan suami.

g. Minta talak.

h. Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.

i. Menyakiti hati suami samada dengan perkataan atau perbuatan.

j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin.

k. Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukai oleh suaminya.

24. Wajib bagi wanita :-

a. Mengekalkan malu pada suaminya.

b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.

c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.

d. Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.

e. Berdiri menyambut kedatangannya.

f. Berdiri menghantar pemergiannya.

g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.

h. Memakai bau-bauan yang harum untuk suaminya.

i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.

j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tiadanya.

k. Tiada khianat ketika tiada suaminya.

l. Memuliakan keluarga suaminya.

m. Memandang pemberian suaminya yang kecil sebagai besar dan berharga.

n. Ketahuilah, syurga dan neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya.

Ada 6 pesanan untuk kaum wanita dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian untuk hidupkan suasana Iman dan Amal di dalam rumahtangga. Apabila ada suasana agama dalam kehidupan maka hidayat dan nusrah (pertolongan) dari Allah akan datang. Rumahtangga dirahmati Allah, keberkatan dalam kehidupan kita dan ketenangan dalam jiwa kita. 6 pesanan itu adalah amalan nurani.

Amalan itu ialah :-

1. Solat di awal waktu dan galakkan kaum lelaki yang mahram bersolat ditempat di mana azan dilaungkan iaitu di masjid atau di surau.

2. Istiqamah membaca Al-Quran dan berzikir. - Hak Al-Quran hendaklahkhatam2X setahun. Jadi lapangkan tiap-tiap hari untuk membacanya. Disamping ituhendaklah kita mengingati Allah dalam apa keadaan kita sekalipun dan dimana kita berada. Dengan melihat setiap ciptaan Allah kita dapatmengingati Allah s. w. t.

Maka dianjurkan supaya dapat kita melapangkan waktu pagi (lepas subuh) dan petang hari (lepas Asar) untuk mewiridkan kalimah-kalimah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir ie "Subhanallah Walhamdulillah Wala ilaha illallah Wallahu Akbar" jika mampu boleh di sambung "Wa la hawlawalaquwataillabillahi'aliyil'azim" 100X. Selawat ke atas Nabi 100X dan beristighfar 100X. Selain daripada itu amalkanlah doa-doa masnun - doa yang diucapkan ketika melakukan sesuatu perbuatan ie masa hendak makan, tidur, masuk dan keluar tandas dsb.

3. Istiqamah menghidupkan Takleem dan Taklum (belajar dan mengajar ilmu agama). - Lapangkanlah masa yang sesuai walau seketika supaya semua ahli keluarga dapat menghidupkan majlis ilmu ini. Duduklah seperti duduknya kita di dalam solat ie menutup aurat, berkeadaan suci dan berbau wangi. Majlis mempelajari agama ini terbahagi kepada dua iaitu :

Pertama - Majlis berkenaan hadis-hadis mengenai kelebihan beramal. Ini adalah untuk menimbulkan keghairahan dalam ahli keluarga untuk beramal.

Kedua - Majlis berkenaan masalah-masalah agama (hukum- ahkam dalam ibadat). Wajib suami untuk mengajar anak dan isteri mengenainya. Jika tidak tahu wajib atasnyauntuk belajar.

4. Mendidik anak secara agama dan sunnah.

5. Hidup sederhana.

6. Menggalakkan suami / mahram yang lelaki untuk usaha atas agama dakwah illallah (mengembangkan agama). - Secara Baironi : di luar kampung halaman kita dan Maqami : Di dalam qariah kampung halaman kita.

Akhir sekali semoga kita sama-sama dapat mengamalkan 6 pesanan ini dalam rumahtangga kita secara istiqamah dan ikhlas setiap hari. Juga untuk jadi isteri yang beriman dan solehah hendaklah kita taat pada suami. Jika suami redha ke atas kita maka Allah s. w. t. akan redha ke atas kita.

Berzikir ,berdoa, beristighfar, membaca Al-Quran dan berselawat adalah amalan-amalan utama yang harus dikekalkan oleh setiap umat islam untuk kesempurnaan Iman dan Islamnya. Semuanya itu menjadi penawar bagi hati dan jiwa yang rusuhdan resah gelisah.

Di Mana Cantiknya Seorang Muslimah?

Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja. Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak. Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.

Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan.

Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu. Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam.

Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.

Anda ingin lebih cantik dan menarik ???

-Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.

-Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.

-Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.

-Pakailah "sabun Istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.

-Rawatlah rambut anda dengan "Selendang Islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki yang merbahayakan.

-Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang Tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin Ukhuwwah.

-Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian"

-Bedaklah wajah anda dengan "air Wudhu" nescaya akan bercahaya di akhirat.

Bagaimana Syaitan Menelanjangi Muslimah

Syaitan dalam menggoda manusia memiliki berbagai cara strategi, dan yang sering dipakai adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu, yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan (ammaratun bis su').

Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

*Berikut adalah cara bertahap:
*
*I. Menghilangkan Definisi Hijab*

Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar'i, pakaian, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian.

Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian ikut ganti juga. Demikian pula ketika seseorang berpindah dari suatu negeri ke negeri yang lain, maka harus menyesuaikan diri dengan pakaian penduduknya, apapun yang mereka pakai.

Berbeza halnya jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar'i (identiti keislaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen ). Biarpun hidup bila saja dan di mana saja, maka hijab syar'i tetap dipertahankan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus. Caranya?

*Pertama, Membuka Bahagian Tangan*

Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan).

"Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan.

Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik," Tu.. tidak apa-apa kan?

*Kedua, Membuka Leher dan Dada*

Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. "Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu."

Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf "V" yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya.

*Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang*

Syaitan berbisik lagi, "Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, yak "cool" cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ya? Si wanita berfikir.

"Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang," syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, di carilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent.

"Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin," begitu dia menokok-nambah.

Walhasil pakaian tersebut akhirnya membudaya di kalangan wanita muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat 'ariyat (berpakaian tetapi telanjang).

*Keempat, Agak di Buka Sedikit*

Setelah para wanita muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi.

Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru yang sepertinya "cool" dan "vogue", yakni dibisiki wanita itu, "Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, apa tak sebaiknya di belah hingga lutut atau mendekati paha?" Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energik."

Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata membuat lebih selesa dan leluasa, terutama ketika akan duduk atau naik kenderaan.

"Yah.... tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting enjoy," katanya.

Inilah tahapan awal syaitan merosak kaum wanita, hingga tahap ini pakaian masih tetap utuh dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar'i yang sebenarnya. Maka kini mulailah syaitan pada tahap berikutnya.

*II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit*

Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih "power", tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya.

*Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit*

Syaitan Berbisik kepada para wanita, "Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang leluasa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki."

Ini baru agak longgar.

"Oh...... ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala....... orang tetap menamakannya dengan jilbab."

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.

*Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis*

Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli.

Maka syaitan kembali berbisik, "Ternyata kebanyakan manusia menyukai apa yang kamu lakukan, buktinya mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang leluasa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya terlihat kira-kira sepuluh centimetre saja." Nanti kalau sudah biasa, baru kamu cari fesyen baru yang terbuka hingga separuh betis."

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.

*Ketiga, Terbuka Seluruh Betis*

Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berhasil membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak menyelisihi para wanita di masa Nabi dahulu.

Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, "Ah jelas tidak, kan sekarang zaman sudah berubah, kalau zaman dulu para lelaki mengangkat pakaiannya hingga setengah betis, maka wanitanya harus menyelisihi dengan menjulurkannya hingga menutup telapak kaki, tapi kini lain, sekarang banyak lelaki yang menurunkan pakaiannya hingga bawah mata kaki, maka wanitanya harus menyelisihi mereka iaitu dengan mengangkatnya hingga setengah betis atau kalau perlu lebih ke atas lagi, sehingga nampak seluruh betisnya."

Tetapi? apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki," bersungut.

"Fitnah? Ah...... itu kan zaman dulu, di masa itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama- sama suka?

Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita maju di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita yang ketinggalan zaman."

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.

*III. Serba Mini*

Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian sehari- harian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. "Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah."

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini.

Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam, petang, musim panas, musim sejuk dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba. Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan "bikini".

Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na'udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, "Menelanjangi Kaum Wanita."

Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki lain, di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu" Syaitan tak ingin ambil risiko.

Penutup

Demikian halus, cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka hendaklah kita semua, terutama orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita kita sekecil apapun, segera secepatnya diambil tindakan.

Jangan biarkan berlarut-larutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka sakan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya. Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Wallahu a'lam bisshawab.

Sumber idea dan buah fikiran: Kitab "At ta'ari asy syaithani", Adnan ath-Thursyah

Aurat Dari Perspektif Fizik

Kajian Kes

Dalam satu perbincangan, seorang siswi menceritakan masalah yang dihadapi berhubung dengan cara pemakaian. Masalah bermula apabila berhadapan dengan persepsi keluarga dan rakan-rakan setelah berubah dari wanita yang berpakaian "liberal" kepada wanita yang menutup aurat sepenuhnya seperti yang disarankan oleh Islam.

Pandangan serong terhadap pemakaian tudung labuh dan jubah menyebabkan siswi tersebut berasa tersisih bukan sahaja terhadap pandangan masyarakat umum, tetapi pandangan siswi-siswi yang bergiat dalam program berunsurkan dakwah. Penerimaan terhadap perubahan berlaku agak sukar akibat sikap double-standard dan kronism yang diamalkan.

Disebabkan mereka telah mendapat tarbiyah sekian lama dan menganggap diri adalah terbaik, agak payah untuk menerima orang yang baru mengenal erti tarbiyah yang sebenar. Apatah lagi berhadapan dengan ibu yang tidak memahami sehinggakan si ibu menyuruh siswi tersebut kembali kepada pakaian lama.

Penyelesaian

Bercakap tentang perubahan, ia bukanlah satu perkara yang mudah semudah mengalihkan sebatang pen dari satu meja ke meja yang lain. Apatah lagi berubah dari segi pemakaian yang melibatkan persepsi masyarakat sekeliling terhadap personaliti baru yang ingin dibentuk. Adalah penting adanya pemahaman terhadap matlamat perubahan dan pengorbanan yang tinggi agar terus istiqamah dengan perubahan.

Apa yang dilakukan oleh siswi tersebut adalah hijrah kepada kebaikan dan memerlukan ketahanan mental dan mujahadah yang tinggi. Dalam satu perubahan, sokongan dari segi spiritual, emosi dan mental diperlukan bukan sahaja dengan berharap kepada tuhan, tetapi juga dari masyarakat sekeliling khususnya mereka yang faham tentang Islam.

Meskipun siswi tersebut baru mengenal erti tarbiyah dan mula bergiat dalam program berunsurkan dakwah, rakan-rakan dalam organisasi dakwah haruslah faham dan tidak memandang diri sebagai individu yang bertaraf tinggi sehingga tidak layak berdamping dengan mereka yang baru menerima hidayah.

Di sini, pentingnya pemahaman tentang konsep inverse response (respon songsang ~ rujuk Pemikiran Sistemik) dalam kehidupan seharian. Setiap sesuatu yang bersifat drastik memerlukan daya yang tinggi untuk diterima dan konsep bersabar terhadap time delay (masa lengah yang diperlukan sebelum satu sistem berfungsi) diperlukan. Sesuatu perubahan memerlukan visi yang jelas berdasarkan ilmu wahyu agar kekuatan diperoleh walaupun keadaan sekitar sukar menerima.

Bagaikan susu yang sebelumnya bercampur dengan najis, kuman, urea dan darah di dalam sistem badan seekor lembu akhirnya keluar sebagai susu yang suci yang mendatangkan kebaikan kepada peminumnya. Dapat disimpulkan bahawa bagaimana sukarnya susu itu keluar dari badan seekor lembu melalui proses perahan untuk bebas dari unsur-unsur negatif, begitulah sukarnya sesuatu perubahan untuk dilaksanakan. Persekitaran memerlukan masa untuk menerima sesuatu kelainan.

Adalah penting pemahaman tentang aurat kerana ia melibatkan penjagaan penglihatan yang berkaitan secara langsung dengan hati dan fikiran yang dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan. Aurat yang dimaksudkan bukan sahaja terhadap kaum wanita, tetapi juga kepada kaum lelaki di mana sesetengahnya yang kurang sensitif menganggap aurat lelaki tidak berapa penting sehingga memakai seluar yang menampakkan lutut ketika bersukan.

Bagi seorang wanita, aurat adalah perkara yang sangat besar dan skop aurat adalah lebih luas pada tubuh mereka berbanding lelaki. Manakala dalam institusi kekeluargaan pula, ibu bapa memainkan peranan penting terhadap pentarbiyahan setiap anak. Bahkan, mereka juga perlu ditarbiyah dan diberi peringatan agar tidak alpa akan arus dunia semasa yang membawa kepada kebatilan.

Haba Pendam Tentu dan Konsep Aurat

Dalam Fizik, konsep ketahanan mental, emosi dan spiritual ditekankan dalam bab haba pendam tentu dan berhubungkait dengan penjagaan aurat. Jika dikaji tentang formula yang digunakan:

J = mc x tetha

J ialah haba pendam tentu: Kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa.

m ialah jisim objek yang menerima perubahan suhu.

c ialah keupayaan haba tentu: Keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa.

tetha ialah perubahan suhu.

Eksperimen 1: Haba Pendam Tentu (Fizik Tingkatan 4- BAB 2.3)

Abstrak/Pengenalan

Dalam kajian ini, "eksperimen" dilakukan ke atas 3 jenis wanita: wanita A- wanita bertudung labuh, berjubah dan menjaga lengan daripada terdedah, wanita B-wanita memakai pakaian biasa tetapi masih menutup aurat dan wanita C- wanita yang lebih selesa memaparkan rambut yang lurus setelah melalui teknik rebonding, menunjukkan keputihan dan kehalusan kulit lengan, mendedahkan kerampingan bentuk badan dan berhias laksana model-model muka hadapan majalah hiburan.

Tujuan

Mengkaji tahap ketahanan spiritual, mental dan emosi wanita terhadap tekanan yang diberi berdasarkan cara pemakaian.

Hipotesis

Semakin baik cara pemakaian yang diamalkan mengikut tatacara yang disyorkan dalam Islam, semakin tinggi tahap ketahanan mental, emosi dan spiritual atas tekanan yang diberi. Begitu juga sebaliknya.

Inferens

Wanita A mempunyai tahap ketahanan yang tinggi, wanita B mempunyai tahap ketahanan yang sederhana dan wanita C mempunyai tahap ketahanan yang lemah.

Pembolehubah manipulasi

c atau keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa mempunyai hubungan dengan ketahanan seseorang terhadap tekanan yang dikenakan. Bercakap tentang konsep aurat, ia mempunyai kaitan dengan suhu. Ramai yang membuka aurat atas alasan panas dan lebih suka bebas dari suatu kongkongan.

Seorang pensyarah wanita di UIA dari New Zealand (bukan Islam) mempersoalkan istilah baju kurung. Adakah istilah baju kurung tercipta kerana sifatnya "mengurung" wanita di Malaysia ? Sehinggakan ramai wanita sekitar KL dan Selangor lebih suka memakai jeans dan t-shirt?

Pembolehubah malar

m atau jisim objek yang menerima perubahan suhu. Anggap jisim, bentuk badan, bangsa, agama, dan ciri-ciri fizikal ketiga-tiga jenis wanita adalah sama.

tetha atau perubahan suhu. Ia adalah tekanan yang diberi secara automatik oleh Pencipta alam di mana wanita berhadapan dengan perubahan biologi seperti haid
(datang bulan), nifas (keadaan yang berlaku semasa bersalin), menopause (berlaku pengurangan hormon estrogen) dan tekanan persekitaran (kerja, pelajaran dan lain-lain).

Pembolehubah bergerakbalas

J atau kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa. Ia berkaitan dengan setinggi mana tahap ketahanan spiritual, emosi dan mental ketiga-tiga jenis wanita terhadap daya tekanan yang diberi.

Kaedah

1) Melalui pemerhatian kritikal terhadap perubahan personaliti ketiga-tiga jenis wanita dalam suatu jangka masa.

2) Bertanya secara berhikmah tentang perspektif ketiga-tiga wanita terhadap cara pemakaian.

3) Eksperimen diulang keatas wanita-wanita lain yang mempunyai ciri yang sama.

4) Eksperimen juga dilakukan keatas 2 jenis lelaki: Lelaki A- Lelaki yang menutup aurat dengan baik dan Lelaki B- Lelaki yang suka mendedahkan pusat sewaktu berlengging dan memaparkan lutut serta paha sewaktu bersukan atau berjalan-jalan.

Pemerhatian

1) Wanita A kelihatan humble, tenang, happy, ceria, lembut, sopan, pendiam, bercakap ketika perlu, berhati-hati dengan perhubungan dan berkemampuan mengawal perkataan yang dikeluarkan dari mulut.

2) Wanita B juga kelihatan tenang, ceria, happy tetapi kadangkala kelihatan risau dan bimbang seperti ada sesuatu yang tak kena. Ada masanya terlepas juga kata-kata yang kurang baik ketika marah. Tapi kembali normal setelah beberapa ketika.

Penulis yang berjurusan senibina pernah menegur seorang studiomate wanita yang menggunakan spray dengan cara yang salah ketika menyembur model yang dibuat sehingga menyebabkan cat yang terhasil rosak. Lalu dalam keadaan marah, penulis dikatakan penyibuk walaupun niat penulis ingin menegur kesilapan yang dibuat. Penulis terus berlalu kerana tahu tetha sedang dikenakan terhadap studiomate tersebut. Selepas kejadian tersebut, keadaan kembali normal.

3) Wanita C kelihatan kelam-kabut, mempunyai stail tersendiri, kurang menjaga perkataan yang dilafazkan, overexcited, mudah melenting, agak sombong, materialistik dan sosial.

4) Lelaki A kelihatan normal, tetapi lelaki B agak stylo, mudah marah, ego yang terlampau tinggi, sukar menerima nasihat, memandang rendah atas kemampuan orang lain dan lebih agresif.

Kesimpulan

Dari eksperimen yang dijalankan, wanita dan lelaki yang mempunyai nilai J yang tinggi adalah mereka yang menjaga cara pemakaian dengan baik mengikut syariat Islam dan sensitif terhadap aurat. Seperti dalam formula yang diberi:

J = mc x tetha

Oleh itu, hipotesis diterima.

Mengkaji Fizik melalui perspektif Islam

Dalam usaha penyampaian Islam kepada individu yang faham tentang Islam, individu yang kurang faham tentang Islam dan individu yang tidak faham tentang Islam, pendekatan melalui ilmu duniawi berdasarkan kaedah saintifik dan empirik adalah salah satu cara yang sesuai kerana tak semua daripada mereka akan menerima jika menyampaikan melalui ilmu Tauhid. Masalah berlaku di Malaysia di mana persepsi masyarakat berubah iaitu belajar adalah untuk bekerja, bukan belajar untuk mencari ilmu.

Adalah menghampakan situasi yang sama berlaku pada mereka yang mengambil jurusan agama dan mereka yang menghafal kalam-kalam Allah. Jika perspektif ini berterusan, mereka tidak akan mampu untuk mengislamisasi ilmu yang dipelajari, melakukan integrasi antara ilmu duniawi dan ilmu Islam, menyampaikan ilmu pada peringkat antarabangsa agar mesej Islam sampai ke serata tempat seterusnya mencapai kecemerlangan menyeluruh.

Seperti yang tertera dalam misi UIA iaitu Triple ICE (Integrations, Islamizations, Internationalizatio ns dan Comprehensive Excellence), adakah pelajar UIA akan mencapai misi UIA andai masih lagi belajar untuk bekerja?

Bukan untuk pelajar UIA sahaja, malah kepada pelajar institusi lain sekali. Tidak malukah kita kepada mereka yang bukan Islam mengkaji ilmu sains melalui al-Quran lantas memeluk Islam atas kesedaran? Di manakah perginya reputasi pelajar Islam yang cuba dipertahankan? Fikirkan...

Faridul: Pertama sekali, ingin saya ingatkan bahawa artikel ini bukan saya yang tulis. artikel ini tersiar di dalam sekian banyak blog. Artikel ini sangat menarik pada hemat saya. bahkan, saya sendiri dalam proses "menulis kembali" silibus Sains PMR untuk dilihat dari kaca mata islam. Sesiapa yang ada maklumat berkenaan penulis asal artikel ini, diharap dapat menghubungi saya.

Bersederhanalah Dalam Penampilan

BERSEDERHANALAH DALAM PENAMPILAN

Dipetik dari:

www. mendidik. blogspot. com

Ketika saya hendak membeli Majalah i keluaran bulan September 2007, saya berasa agak terkejut melihatkan hiasan dan penghias muka hadapan majalah tersebut. Sebelum ini, saya mengharapkan majalah 'Islamik' yang agak unik dari segi pengisiannya ini lain dari yang lain, atau luarannya pun lain dari yang lain, tidak menjadi ikut-ikutan pada kebanyakan majalah yang bertebaran di luar sana tu, yang menjadikan muka dan wajah wanita yang cantik, menarik dan tertarik sebagai daya penarik untuk orang ramai membeli majalah mereka.

Ternyata tanggapan saya meleset. Nampak gaya Majalah i pun sama sahaja dengan majalah-majalah seperti Nur dan Anis yang 'Islamik' dan 'Solehah'. Wajah wanita yang asalnya sudah cantik ditambah lagi dengan pelbagai 'bahan perisa' dan 'bahan pengawet' DIPERBESARKAN sebegitu rupa.

Tidak cukup dengan wanita yang tidak menutup aurat dan tubuh badan wanita yang separuh bogel serta cukup menarik dengan hiasan kosmetiknya dijadikan penghias kulit majalah-majalah lain, majalah-majalah 'Islamik' juga tidak mahu ketinggalan zaman. Yang bezanya cuma pada tudung, baju dan kainnya yang menutup aurat. Asasnya masih 'terjajah' dengan kaedah mengeksploitasi wanita untuk keuntungan duniawi.

Memang benar Islam tidak menentukan fesyen dan tidak mengharamkan perhiasan selagi ianya tidak bertentangan dengan nas dan maqasid syariah. Tetapi Islam sangat menganjurkan kita bersederhana dalam semua perkara. Banyak kebaikan dan manfaat dari keburukan dan mudarat yang boleh diperoleh dengan cara bersederhana.

Begitulah yang kita anjurkan kepada semua wanita Islam agar mereka bersederhana dalam penampilan. Ini agar mereka lebih dihormati, disegani dan mampu menundukkan nafsu mata lelaki yang memandang atau terpandang. Bahkan, wanita yang bersederhana dalam penampilan ini mampu meniup kemanisan iman ke dalam hati para lelaki yang berpenyakit hati.

Manakala jika wanita ini terlalu ingin bergaya, berfesyen dan berhias kerana ingin kelihatan cantik, menarik dan tertarik, maka mereka sendiri yang sedang mengundang bahaya pada diri mereka sendiri. Lelaki yang mempunyai penyakit hati -bahkan yang normal sekalipun- boleh naik nafsunya walaupun mereka rasa sudah menutup aurat dari segi asasnya.

Lelaki akan menganggap wanita jenis ini boleh diusik, dikacau, diganggu, 'disiul', 'diayat', 'dihai-hai', 'dibye-bye' dan ditarik ke lembah hina. Lagipun, bukankah wanita ini ingin kelihatan menarik dan tertarik sehingga menyebabkan diri mereka yang lemah itu ditarik oleh lelaki ini?

Allah berfirman:

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" . (Al-Ahzab: 59)

Dalam satu forum internet, saya ada terbaca satu pandangan oleh seorang lelaki yang berbentuk luahan perasaan. Dia mengatakan bahawa dia agak terkejut kerana terpandang pada dinding bilik dan wallpaper komputer rakannya yang dihiasi dengan wajah dan diri wanita Islam yang menutup aurat -termasuk ustazah- yang penampilan mereka begitu dan terlampau bergaya, berfesyen dan berhias untuk kelihatan up to date.

Malang sekali para suami -termasuk ustaz- kepada wanita-wanita ini begitu bangga sekali -secara tidak sedar- isteri dan anak perempuan mereka dijadikan bahan pemuas nafsu kaum sejenis mereka. Nampak gaya menutup aurat seperti ini tidak cukup menundukkan nafsu lelaki yang berpenyakit hati.

Allah berfirman:

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya". (An-Nur: 31)

Barat berjaya menyatakan pada seluruh dunia bahawa kecantikan fizikal dan luaran adalah segala-galanya. Kecantikan luaran dijadikan asas penilaian terhadap seseorang individu sama ada dia seorang yang mempunyai personaliti dan perwatakan menarik atau tidak. Wanita yang cantik dengan memakai gincu dan baju yang cantik dinilai sebagai berpersonaliti menarik. Manakala wanita yang bersederhana, tidak bergincu, tetapi cukup bersih dan kemas, masih lagi tidak cukup untuk dinilai sebagai mempunyai personaliti menarik.

Perkara ini bukan sahaja berlaku pada wanita, tetapi juga orang lelaki. Wanita Islam yang tetap setia dengan fesyen tudung labuh dan jubah serta tidak bergincu dipandang selekeh dan tidak up to date walaupun penampilan mereka kemas dan bersih. Lelaki muslim yang memakai serban, kopiah, jubah, baju raihan juga dipandang sinis oleh masyarakat dan dianggap sebagai tidak berpersonaliti menarik walaupun penampilan mereka kemas dan bersih. Yang menarik pada anggapan mereka hanyalah yang memakai kemeja, tali leher dan kot serta rambut gaya fesyen David Beckham dan Cristiano Ronaldo.

Itu belum termasuk dengan pelbagai alat kosmetik dan krim pencerah dan pemutih kulit yang secara tidak langsung MENGHINA kejadian asal ciptaan Allah. Bahkan, wanita-wanita yang sanggup dibayar lumayan sebagai jurucakap dan model pada alat kosmetik ini juga secara tidak langsung MENGHINA kaum sejenis mereka sendiri.

Mereka sebenarnya ingin memberitahu kepada wanita bahawa "Anda tidak cantik atau belum cantik jika tidak bergincu" atau "Anda memang tidak cantik kerana Allah telah ciptakan anda berkulit gelap maka anda perlu gunakan krim pencerah dan pemutih kulit".

Cukuplah sudah berlambak wanita-wanita Barat dan Timur yang bukan Islam yang beriman dengan falsafah kecantikan seperti ini sanggup dibayar mahal dan lumayan untuk mendedahkan kecantikan dan perhiasan diri mereka. Cukuplah mereka ini sudah banyak menjadi fitnah dengan merangsang nafsu kaum lelaki yang akhirnya tewas secara sedar atau tidak. Tidak perlulah wanita Islam yang kelihatan menutup aurat- juga turut sama menjadi agen fitnah dan perangsang nafsu.

Bersederhanalah dalam penampilan diri. Jadikan penampilan diri anda boleh meningkatkan iman orang lain yang memandang anda, bukan meningkatkan nafsunya. Insya-Allah anda tidak termasuk di kalangan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW dalam hadis ini:

"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

Sebaliknya, anda akan termasuk di kalangan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW:

"Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah"

Bergayalah, berfesyenlah dan berhiaslah sepuas-puasnya di hadapan suami anda. Tetapi, di hadapan lelaki lain, bersederhanalah dalam penampilan. Dunia akan bertambah aman dan selamat. Apatah lagi di akhirat.

Aurat Muslimah: Satu Penindasan Atau Pembebasan?

Aurat Muslimah : Satu Penindasan Atau Pembebasan?

"Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya) ." ( An Nur : 1)

Begitulah permulaan ayat pertama bagi surah An Nur, yang mana terkandung dalamnya beberapa hukum dan perintah Allah s. w. t. ke atas manusia yang wajib dilaksanakan, sebagaimana yang di nyatakan didalam terjemahan ayat tersebut diatas.

Di dalam surah ini juga terdapat dua ayat yang menyentuh mengenai perintah memelihara pandangan dan aurat bagi lelaki dan wanita yang beriman. Bermula dengan ayat ke 30 iaitu ayat pertama dalam dua ayat yang menyentuh mengenai aurat ini, Allah s. w. t. menekankan terlebih dahulu batasan pandangan dan aurat bagi lelaki yang beriman supaya dipelihara, sekaligus menunjukkan hukum pemeliharaan pandangan dan aurat dititikberatkan terlebih dahulu keatas lelaki.

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." (An Nur : 30)

Setiap apa yang diperintahkan oleh Allah s. w. t. adalah dipenuhi dengan hikmah dan kebaikan bagi mereka yang memerhatikan dengan akal dan iman. Setiap lelaki yang menundukkan pandangan, dengan izin Allah akan memelihara diriya dari bisikan syaitan, nafsu serta dorongan ke arah perkara yang memudaratkan iman dan kemanusiaannya. Boleh dikatakan bahawa majoriti wanita yang berhias adalah untuk mendapatkan perhatian dari golongan adam dan ini kerana perasaan sedemikian itu merupakan satu fitrah dalam diri mereka yang telah Allah tetapkan dalam diri mereka.

Fitrah bagi lelaki pula suka memandang sesuatu yang menyedapkan pandangan serta cantik tetapi seringkali mereka terlupa bahawa secantik-cantik perhiasan dunia ialah isteri yang solehah. Dengan menundukkan pandangan, maka berkuranglah wanita yang memilih untuk tidak menutup aurat. Ini boleh diibaratkan dengan contoh seorang pemilik panggung wayang yang tiada pelanggan yang datang untuk menonton filem yang dinobatkan 'hebat' dipanggungnya, sehebat mana pun filem yang dimainkan , jika tiada yang datang menonton, lambat laun akan tutup juga premis panggung tersebut.

Begitulah dengan apa yang berlaku ke atas fitrah manusia, psikologi yang disebutkan Allah s. w. t. di dalam ayat 30 ini menunjukkan bahawa setiap permulaan kepada kebaikan dan pematuhan kepada perintah Allah s. w. t. itu sepatutnya bermula dengan lelaki.

Mengapa mesti lelaki? Persoalan mudah ini boleh dijawab dengan bermulanya tanggungjawab seorang lelaki sebagai ketua keluarga, wali bagi saudara-saudara perempuannya serta saudara kepada muslimin dan muslimat seluruhnya. Jika tanggungjawab ini dijalankan dengan betul dan amanah, maka tidaklah menjadi sesuatu yang pelik sekiranya generasi yang dilahirkan dari dan selepas itu merupakan satu generasi yang beriman, berakhlak serta maju dalam dalam setiap bidang yang diceburi.

Dari generasi inilah bakal lahir golongan pemuda-pemuda Islam yang menghormati serta memandang samarata ke atas kaum wanita dan tidak menganggap golongan wanita hanya sebagai objek yang boleh diperdagangkan, dipermainkan, alat pemuas nafsu dan dilayan sebagai kelas dua. Pemudi-pemudi Islam dari generasi ini akan sama-sama menjadi tonggak serta tulang belakang kepada kekuatan ummah.

Allah s. w. t. meletakkan persamaan hak diantara lelaki dan wanita tetapi hak dan tanggungjawab setiap dari yang tersebut tadi adalah tidak sama ke atas keduanya.

Di dalam artikel ini, penulis ingin menekankan kepada pemahaman ayat sambungan dari ayat 30 surah An Nur seperti yang tersebut tadi.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (An Nur : 31)

Ayat 31 surah An Nur di atas menjelaskan perintah supaya menjaga pandangan bagi mereka-mereka yang beriman dan batasan aurat bagi muslimah yang beriman. Perintah Allah inilah yang selama ini menjadi bahan gurauan dan sendaan masyarakat barat dalam liberasi feminisme mereka terhadap Islam. Lebih malang lagi, kini budaya sendaan ini menular dan berakar umbi pula dalam generasi muslimah liberal yang mengadaptasikan cernaan dangkal akal fikiran liberasi feminisme barat dan semakin terbawa-bawa dakyah ini dalam kehidupan seharian mereka.

Persoalannya, benarkah batasan aurat bagi muslimah Islam yang beriman itu satu bentuk penindasan ke atas kaum wanita dalam Islam? Perkara ini hanya kelihatan benar dalam pemikiran cetek yang tidak pernah cuba kenal atau memahami perintah Allah s. w. t. secara keseluruhannya. Retorik dan tembelang mereka dalam menyatakan bahawa mereka beriman dan setiap hari membaca terjemahan Al Quran sebagai panduan nyata terbongkar apabila membicarakan mengenai perintah Allah dalam pemeliharaan aurat ini. Masing-masing melenting membela pendapat akal mereka yang diracuni gerakan membuta tuli liberasi feminisme barat.

Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf dan diredhai Allah sebagaimana yang tersebut didalam surah Al Maidah ayat 23 :

"Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu". (Al Ma'idah : 3)

Islam juga merupakan sebuah agama bagi orang-orang yang bijak dan berakal sempurna. Seorang doktor atau saintis yang pandai dalam bidangnya tidak boleh dikatakan cerdik atau bijak jika menganggap sesuatu yang diukir oleh tangan manusia sendiri, bulan, bintang, binatang, pokok dan sebagainya sebagai tuhan mereka yang memberikan mereka rezeki dan dapat memudaratkan mereka. Maka perkara seupama ini yang menghina daya akal, kekuatan dan kebijaksanaan akal fikiran manusia tidak terdapat dalam Islam.

Bagi mereka yang boleh berfikir dengan waras, tentulah mereka menyedari bahawa semua objek tersebut tidak dapat memberikan mereka manfaat atau pun kemudaratan biar pun sebesar zarah. Maka Islam menunjukkan jalan yang benar dalam mengenali Siapa Pencipta seluruh alam yang sepatutnya disembah.

Sebagai agama yang diredhai Allah s. w. t., setiap apa yang datang bersama agama tersebut akan dapat membantu menyelesaikan semua persoalan dan permasalahan yang telah, sedang atau bakal dihadapi oleh manusia sebagai khalifah di muka bumi ini sehingga kiamat.

Maka dalam setiap perintah dan hukum yang terdapat di dalam Al Qur'an, ada penjelasan baik dari segi pemahaman tersurat atau tersirat bagi setiap faedah pelaksanaannya.

Bagi yang hanya dapat melihat atau memahami perintah pematuhan kepada hukum memelihara aurat ini dari segi pemahaman literasi, ayat 31 surah An- nur ini telah dengan jelas menyatakan bahawa salah satu dari faedah dari pelaksanaannya ialah mereka-mereka iaitu muslimin dan muslimat yang beriman kepada perintah Allah ini akan memperolehi kejayaan.

Satu lagi sebab yang dinyatakan dalam Al-Qur'an mengenai kelebihan menutup aurat ini ialah ianya dapat membezakan antara wanita-wanita yang beriman dan menjaga kehormatan serta memelihara muslimah tersebut dari ganguan sepertimana yang dinyatakan dalam surah Al-Ahzab ayat 59.

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al Ahzab
59)

Jika tidak difahami dengan betul surah An Nur ayat 31, maka pernyataan kejayaan yang bakal dicapai oleh golongan ini akan segera menjadi klise dan dikaitkan dengan balasan pahala dan mendapat tempat di dalam syurga di akhirat dan terselamat dari seksaan dalam neraka kelak selepas mati. Sebenarnya tidak hanya demikian!

Kejayaan yang dinyatakan oleh Allah s. w. t. tersebut bermula dari sisi kehidupan dunia lagi dan ayat ini merupakan satu dalil bagi gerakan pembebasan muslimah dari kongkongan karut marut yang meletakkan mereka sebagai warga kelas dua yang tidak layak untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan golongan lelaki dalam semua bidang yang mampu diceburi.

Bermula dengan perintah Allah s. w. t. membataskan aurat muslimah hanya kepada sesama muslimah, telah pun membuka satu lembaran dalam pembebasan dari kongkongan mendapatkan pendidikan supaya fardu kifayah dapat dipenuhi.

Bayangkan jika para muslimah dikekang dan dihalang dari mendapat pendidikan dan hak untuk memajukan diri dalam karier, maka dengan secara automatiknya kaum muslimah dan kaum muslimin rigid atau jumud itu sendiri akan mengalami masalah bila berhadapan dengan masalah kesihatan dan terpaksa mendapatkan khidmat dari doktor dari jantina berlawanan. Maka ini dengan sendiri akan menimbulkan rasa kurang selesa bagi mukminat yang cuba menjaga batasan aurat seperti yang diperintahkan Allah s. w. t..

Satu contoh lagi, bagaimana pula dengan khidmat kaunselor professional? Sebagaimana yang kita sedia maklum, setiap sesi kaunseling bagi individu yang mempunyai masalah akan dibuat secara sendirian dengan kauselor professional terlibat. Bukankah perkara seumpama ini akan menimbulkan masalah bagi mukminat yang memahami hukum-hukum batasan aurat dan pergaulan dalam hidup sehari-hari. Disinilah timbulnya kepada keperluan bagi umat Islam mempunyai Doktor, Kaunselor Professional, Pensyarah, Guru, Jurutera dan professional- professional muslimah yang lain bagi memenuhi dan membantu muslimah lain dalam melaksanakan perintah Allah s. w. t.

Tentunya semua ini bermula dengan mendapat pendidikan awal sehingga tinggi yang tidak dikekang oleh golongan jumud yang terperangkap dalam dunia mereka sendiri. Islam datang membawa keluar golongan wanita dari segala kongkongan lelaki seterusnya meletakkan wanita di atas jalan serta hak-hak mereka sendiri tanpa merendahkan martabat mereka.

Maka 1400 tahun dahulu, wanita-wanita Islam telah lama dapat menikmati semua hak-hak kesamaan biarpun wanita-wanita lain diseluruh dunia masih ditindas pemerintah dan dibelengu hukum-hukum agama yang dianuti masing-masing. Hanya sekitar abad ke 20 barulah wanita-wanita di barat tersedar akan sekatan-sekatan hak yang mereka alami, iaitu setelah muslimah-muslimah diberikan kemuliaan dan hak-hak 1300 tahun lamanya oleh Allah s. w. t., maka gerakan pembebasan feminisme mula bergerak di barat bertunjangkan perjuangan dengan meletakkan kaum adam sebagai penanda aras kejayaan. Semua ini adalah kerana mereka-mereka ini mengenepikan Tuhan dalam asas perjuangan mereka.

Tanpa mereka sedari, kedudukan mulia serta semua keistimewaan yang Allah s. w. t. letakkan serta berikan kepada mereka, diketepikan mereka dan mereka-mereka ini sendiri merendahkan martabat mereka dengan meletakkan golongan Adam sebagai penanda aras kejayaan mendapatkan hak-hak asasi mereka.

Kejayaan dalam liberasi feminisme barat yang diperjuangkan sekadar hanya berjaya melacurkan kembali maruah wanita sebagai objek seks semata-mata serta meletakkan kembali wanita di bawah penindasan kaum adam.

Perhatikan saja dalam klip-klip video artis-artis barat, di mana untuk mendapatkan kontrak rakaman serta untuk menjual album, maka perkara pertama yang harus dilakukan ialah menanggalkan pakaian mereka untuk diperagakan tubuh mereka dalam klip-klip video tersebut. Diskriminasi seperti ini tidak pula berlaku ke atas artis lelaki. Maka bagaikan kupu-kupu malam yang mencari pelanggan, mereka ini, menjatuhkan maruah mereka sendiri dalam perjuangan tanpa arah ini.

Begitu juga jika diperhatikan mana-mana saja iklan dalam mana-mana media sekalipun, biarpun apa sahaja objek yang hendak dijual, tidak kira mesin cetak, motosikal, kereta atau apa sahaja, maka akan kelihatan seorang wanita dengan pakaian menjolok mata yang menghina maruah wanita itu sendiri disertakan. Apakah ini yang diperjuangkan sebagai hak wanita? Bukankah ini tidak lebih dari eksploitasi yang bertopengkan hak-hak asasi dan seni?

Tetapi ini tidak berlaku kepada kaum muslimah kerana kejayaan didunia dan akhirat bagi mereka, diukur melalui usaha mereka dan ketaatan mereka kepada perintah-perintah Allah s. w. t.. Tiada lelaki diletakkan langsung sebagi penanda aras kejayaan bagi muslimah. Mengapa mesti menghinakan diri sendiri setelah banyak kemuliaan Allah berikan kepada kaum hawa?

Perhatikanlah, setiap anak adam pasti membawa satu parut kekal pada tubuh mereka yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka kedunia ini adalah melalui rahim seorang wanita yang bergelar ibu. Setiap lelaki dan wanita mempunyai pusat sebagai peringatan tentang betapa bergantungnya hidup setiap insan terhadap ibu, iaitu wanita yang mengandungkan, melahirkan, menyusukan seterusnya memelihara dan menjaga kita sehingga kita dapat berdikari sendiri.

Betapa Allah itu Tuhan Yang Maha Adil, diperingatkanNya tentang jasa seorang ibu dengan parut kekal ini supaya setiap individu itu tidak terlupa bahawa wanita merupakan tonggak kekuatan ummah.

Wanita di serata dunia telah dinafikan hak lama sebelum kedatangan Islam. Tamadun Babylon misalnya, wanita dinafikan segala hak dan direndahkan martabatnya di bawah undang-undang Babylon. Jika terdapat seorang lelaki membunuh seorang wanita, lelaki yang membunuh perempuan tersebut tidak dihukum sebaliknya isterinya pula yang akan dijatuhkan hukuman bunuh.

Satu contoh lagi Tamadun greek, tamadun yang dinobatkan sebagai sebuah tamadun yang paling gemilang di antara tamadun-tamadun silam. Di bawah ketamadunan yang 'gemilang' ini, wanita-wanita mereka dinafikan segala hak dan dipandang rendah. Dalam mitologi Greek, seorang 'perempuan jelmaan' bernama 'Pandora' dikatakan sebagai punca bagi semua kecelakaan dan musibah yang dihadapi manusia. Golongan Arab jahiliah lebih kejam dalam memberi layanan kepada golongan wanita. Mereka ini dianggap sebagai pencemar maruah keluarga serta satu beban dan kebanyakan dari kanak-kanak perempuan di kalangan Arab jahiliah ini ditanam hidup-hidup oleh ibu bapa mereka.

Kedatangan Islam, menghapuskan segala amalan karut marut dan penindasan ke atas wanita di seluruh dunia. Kitab Bible sendiri menyatakan bahawa adalah sesuatu yang tidak sopan bagi wanita-wanita untuk bersuara dalam majlis ilmu di gereja-gereja, jika terdapat apa-apa persoalan mengenai apa yang dipelajari, mereka tidak dibenarkan langsung dari bertanyakan hal tersebut secara langsung dan dinasihatkan pula untuk mendapatkan penjelasan dari suami-suami mereka di rumah. Maka, hal sebegini tentulah menjadi satu masalah bagi wanita-wanita yang ingin menuntut ilmu dan tidak mempunyai suami.

Arahan tersebut terdapat dalam kitab perjanjian baru 1 Corinthians Bab 14 ayat 34 dan 35.

1 Corinthians : 14

14:34 Let your women keep silence in the churches: for it is not permitted unto them to speak; but they are commanded to be under obedience as also saith the law.

14:35 And if they will learn any thing, let them ask their husbands at home: for it is a shame for women to speak in the church

Terjemahannya,

14:34 Perempuan-perempuan harus berdiam diri dalam gereja-gereja. Sebab mereka tidak diperbolehkan untuk berbicara. Mereka harus menundukkan diri, seperti yang dikatakan juga oleh hukum.

14:35 Jika mereka ingin mengetahui sesuatu, baiklah mereka menanyakannya kepada suaminya di rumah. Sebab tidak sopan bagi perempuan untuk berbicara dalam pertemuan Jemaat.

Begitu juga dengan ayat dalam Kitab Perjanjian Baru, 1 Timothy bab 2 ayat 11 dan 12 yang membawa pengertian kepada arahan tunduknya wanita di bawah kuasa lelaki dan halangan bagi mereka untuk bersuara.

1 Timothy : 2

{2:11} Let the woman learn in silence with all subjection.

{2:12} But I suffer not a woman to teach, nor to usurp authority over the man, but to be in silence.

Terjemahannya,

2:11 Seharusnyalah perempuan berdiam diri dan menerima ajaran dengan patuh.

2:12 Aku tidak mengizinkan perempuan mengajar dan juga tidak mengizinkannya memerintah laki-laki; hendaklah ia berdiam diri.

Pada ketika wanita di gereja-gereja dan synagogue-synagogue dikekang hak-hak mereka untuk bersuara dalam majlis-majlis ilmu, ummul mukminin Saiditina Aisha r. a. menjadi tempat rujukan hukum-hukum agama dan menjadi antara periwayat hadis terbanyak dalam sejarah Islam.

Rasulullah s. a. w. sendiri memperuntukkan satu hari khas dalam seminggu bagi memberi peluang kepada muslimah-muslimah merebut peluang mendalami ilmu daripadanya. Ini dilakukan setelah muslimah-muslimah ini mengadu kepada baginda bahawa agak sukar bagi mereka untuk belajar disebabkan hari-hari pengajaran yang lain telah dipenuhi oleh para sahabat lelaki Rasulullah s. a. w. yang lain. Ini diriwayatkan dalam Sahih Bukhari :

Dari Abu Sa'id Al Khudri r. a. katanya, 'Beberapa orang wanita memajukan permohonan kepada Nabi : "Kami tidak memperolehi waktu untuk belajar dari Anda kerana semua waktu telah diisi oleh lelaki. Oleh kerana itu sediakanlah barang sehari untuk kami agar kami pula dapat belajar.’´

Maka Nabi menjanjikan kepada mereka suatu hari khusus untuk pengajian wanita, di mana Nabi mengajar dan menyampaikan perintah-perintah Allah......’´

Pelajaran bagi wanita dalam Islam tidak hanya terhad kepada golongan muslimah yang merdeka malahan digalakkan oleh Rasulullah s. a. w. supaya tuan-tuan kepada hamba-hamba wanita yang dimiliki supaya mengajarkan kepada hamba-hamba wanitanya itu ilmu pengetahuan kemudian memerdekakan mereka dan memuliakan mereka dengan perkahwinan. Perkara ini dinyatakan ada diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahih Bukharinya :

Dari Abu Burdah r. a. dari bapanya, bahawa Rasulullah s. a. w. bersabda, "Ada tiga jenis orang yang mendapat dua pahala sekaligus. Iaitu :

- Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) yang percaya kepada Nabinya dan percaya pula kepada Muhammad s. a. w..

- Hamba sahaya, apabila dibayarkan kewajipannya kepada Allah dan kewajipan kepada majikannya,

- dan lelaki yang mempunyai hamba sahaya perempuan, diajarkannya berkesopanan dan disempurnakan pengajaran kesopanan itu; diajarkannya ilmu pengetahuan dan disempurnakan pelajaran itu dan dikahwininya.

Maka ketiga jenis orang itu mendapat dua pahala.’´

Tetapi ini tidak berlaku kepada kaum muslimah kerana kejayaan didunia dan akhirat bagi mereka, diukur melalui usaha mereka dan ketaatan mereka kepada perintah-perintah Allah s. w. t.. Tiada lelaki diletakkan langsung sebagi penanda aras kejayaan bagi muslimah. Mengapa mesti menghinakan diri sendiri setelah banyak kemuliaan Allah berikan kepada kaum hawa?

Perhatikanlah, setiap anak adam pasti membawa satu parut kekal pada tubuh mereka yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka kedunia ini adalah melalui rahim seorang wanita yang bergelar ibu. Setiap lelaki dan wanita mempunyai pusat sebagai peringatan tentang betapa bergantungnya hidup setiap insan terhadap ibu, iaitu wanita yang mengandungkan, melahirkan, menyusukan seterusnya memelihara dan menjaga kita sehingga kita dapat berdikari sendiri.

Betapa Allah itu Tuhan Yang Maha Adil, diperingatkanNya tentang jasa seorang ibu dengan parut kekal ini supaya setiap individu itu tidak terlupa bahawa sebahagian dari setiap insan yang wujud di muka bumi ini lahir dari pengorbanan sesorang wanita yang bergelar ibu. Wanita merupakan tonggak kekuatan ummah dan janganlah menghinakan serta mencemar maruah wanita kembali dengan segala perjuangan liberasi kosong berkiblatkan barat yang akhirnya mencampakkan wanita lebih 1400 tahun kebelakang.

Rencana ini dipetik dan diolah dari eNovel Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist.

Untuk mendapatkannya, sila email kepada satuhala@yahoo. com

Model Muslimah Sejati

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s. w. t. Malah Rasulullah s. a. w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud:

"Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan betapa Islam memandang tinggi kedudukan wanita dalam kehidupan global.

Jika ditelusuri dalam lembaran al-Quran, wanita digambarkan dengan tiga fungsi penting.

Pertamanya, wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya dia tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.

Keduanya, wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

Akhirnya, wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang mendambakan kemesraan dan kebahagiaan hidup.

Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini.

Mereka adalah wanita contoh yang menempa tinta emas yang mewarnai sejarah kegemilangan dan keunggulan Islam. Sehubungan itu, Baginda Rasulullah s. a. w bersabda yang bermaksud:

" Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda." - (Riwayat Bukhari)

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

Maryam pula adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.

Manakala Khadijah pula adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah.

Akhirnya, Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya; isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah pemuka segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang setiap detik kehidupan yang dilaluinya, sewajarnya dijadikan ikutan Muslimah.

Demikianlah antara beberapa profil wanita Muslimah contoh yang mewarnai pentas kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Islam menganjurkan setiap Muslim yang bakal melangkah alam perkahwinan agar berhati-hati memilih calon isteri.

Kriteria calon isteri penting dalam kehidupan berkeluarga kerana ia adalah antara ciri kesolehan isteri yang dituntut Islam, di samping bakal menjamin kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Dalam hal ini, Rasulullah s. a. w bersabda maksudnya:

"Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinasakannya; janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu; sebaliknya nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu." - (Riwayat Abdullah ibn Humaid).

Jelas di sini, bahawa aspek keagamaan dalam diri seseorang isteri adalah penentu hala tuju sesebuah rumah tangga yang dibina dan dibentuk.

Ini kerana agamanya yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, dia pasti akan taat kepada suaminya pada semua perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah dan tidak mendatangkan mudarat kepadanya.

Isteri yang solehah juga akan bersifat amanah terhadap harta benda suaminya, di samping menjaga maruahnya. Sewaktu ketiadaan suaminya, seorang isteri solehah memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.

Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini banyak dipengaruhi oleh firman Allah yang bermaksud:

"... perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah..." - (Surah an-Nisa: 34)

Malah isteri yang solehah ingatannya sentiasa segar dengan pesanan Baginda yang bermaksud:

"Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya, mentaati suaminya, nescaya dia dapat masuk ke mana-mana saja pintu syurga menurut kehendaknya. " - (Riwayat Imam Ahmad)

Isteri solehah juga adalah isteri yang sentiasa menyempurnakan keperluan suaminya, di samping memelihara keredaannya pada setiap masa dan keadaan. Ini kerana keredaan suami adalah anak kunci utama yang melayakkannya menjadi penghuni syurga penuh kenikmatan.

Sabda Rasulullah bermaksud:

"Mana-mana isteri yang meninggal dunia, sedangkan suaminya reda kepadanya, nescaya isterinya akan masuk syurga." - (Riwayat Al-Hakim dan Tirmizi)

Apa yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya yang juga penyejuk hati ibu bapa dan saham akhirat yang pahalanya berkekalan, biarpun ibu bapanya lama meninggal dunia. Dengan agamanya itu, seseorang ibu akan mewariskan segala ilmu agamanya kepada anaknya agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan taat, bukan saja kepada ibu bapa, bahkan taat kepada Allah.

Agama inilah ramuan terbaik yang boleh melenturkan peribadi anak, perhiasan akhlak terpuji, mengisi minda dan hati anak dengan keimanan dan ketakwaan serta membimbing kehidupan ke arah keredaan Ilahi.

Demikianlah betapa besarnya fungsi seorang wanita yang bertindak sekali gus sebagai isteri dan ibu solehah dalam sesebuah institusi keluarga. Justeru, Allah menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita solehah yang beriman dan benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu dalam kehidupan sehariannya.

Akhirnya, Rasulullah s. a. w pernah bersabda, maksudnya:

"Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang, yang memelihara kehormatannya, yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya, yang menghormati suaminya, menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya tercinta, memelihara diri daripada pandangan orang lain, yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya. Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menolak ajakannya serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain." - (Riwayat Al-Tausi)

Tip Pikat Jiwa Galak Muslimat Bertudung

Tip pikat jiwa galak muslimat bertudung

Oleh Endok Sempo Tahir

Sejak akhir akhir ini isu tudung menjadi hangat semula. Bertudung adalah satu kewajipan yang jelas diperintahkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah kerana ia adalah satu daripada kewajipan wanita Islam.

Antara tips yang boleh menarik hati yang ikhlas dan sejahtera:

a.. Lindungi daripada dikasari

Ini agak rumit tetapi perlu dilakukan. Ada beberapa organisasi Islam yang ingin melaksanakan Islam menggunakan kaedah yang disebutkan sebagai pendekatan 'baseball bat': dengan menggunakan kekerasan atau main kasar.

Ini amat bertentangan dengan kaedah Islam yang anjal. Apabila kita melihat wanita Islam yang tidak memakai tudung dikasari atau diberi layanan negatif kita perlu menolongnya dan berbuat baik kepadanya.

a.. Beritahu kepada rakan yang lain jangan prasangka atau menghukum

Aktivis Muslim perlu diberitahu supaya tidak menggunakan pendekatan "baseball bat" dan terlalu mudah menghukum wanita yang tidak bertudung. Beritahu mereka dengan bukti dari Quran dan Sunnah bahawa Islam mengajak manusia menggunakan kebijaksanaan.

Jika cara ini tidak berkesan, dapatkan ilmuwan atau mereka yang boleh dipercayai boleh memberikan nasihat, kaunseling, teman berbincang yang mendengar, boleh dipercayai dalam menyelesaikan masalah.

a.. Tekankan keimanan terlebih dulu

Islam diutuskan kepada Nabi (SAW) secara berperingkat dan Muslim pada hari ini juga harus melaksanakannya secara berperingkat. Sebelum seseorang memperkatakan mengenai tudung kepada seorang wanita, aspek yang paling penting yang perlu ditekankan ialah aspek asas Islam dan asas keimanan. Asas Islam perlu diperhatikan dulu seperti kepentingan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa di dan sebagainya.

a.. Tidak menjadi apologetik

Dalam menggunakan pendekatan bersikap baik dan berlemah lembut, jangan kita bersikap apologetik atau menyembunyikan kebenaran pengajaran Islam. Sekali lagi, kebijaksanaan adalah perlu, tetapi seorang wanita tidak boleh mengatakan tidak memakai tudung adalah diterima dari perspektif Islam. Hukum bertudung sepakat oleh jumhur ulama dan tidak boleh dipertikaikan.

a.. Jika mereka mula mahu bertudung, sokonglah mereka

"Sokongan yang padu amat diperlukan bagi mereka yang ingin bertudung," kata Dr Katherine Bullock. Apabila seorang wanita menerima tanggungjawab untuk bertudung, dia selalunya memerlukan pertolongan, menyiapkan persiapan mental untuk menghadapi beberapa kemungkinan: berdepan dengan ibu bapa, diskriminasi oleh majikan, ejekan rakan dan juga pengetahuan Islam yang cetek untuk menangkis sebarang soalan soalan yang diajukan.

Pengalaman menunjukkan pada peringkat awal kita sering meluangkan masa untuk meyakinkan seseorang untuk menerima ajaran Islam. Tetapi apabila individu sudah menerimanya, kita tidak membuat 'penerusan'' , menyepikan atau menjauhkan diri, kurang komitment untuk terus membantu mereka yang berusaha untuk menjadi saudara baru. Oleh itu langkah yang paling berat adalah selepas, bukannya sebelum. sokongan, persahabatan dan yang paling penting adalah untuk mengekalkannya.

Bertudung Dan Ungkapan Hina Hukum

Bertudung & Ungkapan Hina Hukum?

Oleh : Ust Zaharuddin Abd Rahman

"Tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan, cuma kami pandang lama je la ?" tanya seorang pemuda berumur 35 tahun kepada saya sambil tersenyum- senyum selepas dia merenung wanita berskirt di hadapannya.

Ia adalah satu perkara yang amat menyedihkan, ia sebenarnya hasil dari sikap sebahagian umat Islam hari ini mengambil ringan tentang hukum Islam.

Berkenaan larangan melihat kali kedua kepada aurat ini diriwayat dalam beberapa buah hadith, antaranya hadith :

"Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s. a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya.

Demikian juga kata Baginda SAW kepada Ali KW :

Ertinya : "Jangan kamu ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain, kerana yang pertama bagimu ( diampunkan) dan tidak bagi yang kedua" ( Riwayat Ahmad, Abu Daud, Albani : Hasan)

Artis & Lawak Hukum

Lebih teruk lagi terdapat artis Malaysia yang sanggup menggunakan lafaz-lafaz Islam seperti 'MashaAllah' dan 'InshaAllah' serta 'Allahu Akbar' dalam lakonan lawak mereka sambil sengaja disebut dalam bentuk yang melucukan. Ini amat jelas memperlawakkan lafaz mulia Islam, ia amat kerap dilakukan oleh satu kumpulan pelawak Malaysia yang terkenal. Moga mereka diberikan hidayah oleh Allah SWT.

Demikian juga dengan ucapan alhamdulillah bagi seorang artis yang berpakaian separuh bogel dikhalayak umum apabila berjaya meraih sesuatu anugerah di media. Atas nama seni dirasakan tindakannya halal. Pada hakikatnya jika lakonannya itu penuh dengan adegan 'peluk sana sini' dan 'dedah sana sini', maka di ketika itu ia bukanlah lagi sebuah seni mulia yang diiktiraf Islam. Ia adalah seni 'fasad' yang berdosa dan tidak layak diraikan dengan ungkapan mulia Islam.

Ketika itu, kemenangan mereka di atas pentas dan melafazkan ucapan sedemikian adalah satu bentuk mempermainkan hukum dan lafaz Islam di tempat yang tidak sewajarnya. Seolah- olah seorang yang ingin merompak membaca 'Bismilah' ketika memulakan rompakannya dan mengucapkan 'Alhamdulillah' apabila berjaya terlepas dari kejaran polis, atau menyebut 'Alhamdulillah' di dalam tandas, atau seperti seorang peminum arak mengucapkan "alhamdulillah" apabila menyelesaikan minumannya.

Menurut kaedahnya, semua ini menambahkan lagi dosa si pelaku terbabit disebabkan wujud unsur penghinaan samada secara langsung atau tidak langsung kepada hukum serta lafaz mulia Islam. Walaupun mereka tidak langsung berniat untuk menghina lafaz mulia itu.

Apabila ia adalah sebuah hukum atau ucapan zikrullah, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan atau menyebutnya di tempat yang tidak sewajarnya. Nabi SAW bersabda :-

Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari dengan Fathul Bari, Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)

Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan bahawa erti hadith ini adalah seorang yang bercakap tanpa jelas maksud ayatnya sehingga menjadikan ia boleh membawa maksud yang pelbagai sehingga sebahagiannya boleh mencarikkan sesuatu hukum. (Fath Al-Bari, 11/376)

Hina Islam, Bertudung & Bermaksiat Lebih Besar Dosa

"Amat memalukan la ustaz, saya baru jumpa satu video yang tunjukkan pasangan melayu ditangkap di tasik- tasik dan tempat awam tengah bercumbuan, apa pandangan ustaz, hampir 95 % darinya bertudung jenis tak sempurna tu ustaz, ustaz tau tak?" tanya seorang pendengar kuliah saya sejurus selepas kuliah saya berkenaan aurat.

Kemudian selang beberapa hari, pemuda ini menghantar email kepada saya beserta satu petikan video yang dimaksudkan. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah.. wa Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.. memang amat mendukacitakan.

Pemuda itu juga menulis seperti 'kepeningan' dan 'kebingungan' dengan persekitaran ini dengan katanya

"Boleh tak agaknya saya buat kesimpulan bahawa hampir semua wanita yang bertudung pendek atau fesyen, dengan kain belah atau baju sempit atau baju kurung biasa, semua ni jenis yang 'murah' dan boleh diajak seks bebas dengan mudah hari ni, apa pandangan ustaz?" Mengurut dada saya mendengar kesimpulan pemuda berpakaian kemas dan bekerjaya profesional ini. Sudah tentu amat marah para wanita dengan kesimpulan si pemuda ini.

"Saya hanya masih percaya dengan wanita yang berjubah dan bertudung labuh sahaja sekarang ini ustaz, harapnya mereka dapat pertahan maruah dan kesucian mereka serta tak jadi macam si pemakai tudung pendek yang terbukti tiada banyak beza dengan free hair" katanya lagi dengan tegas.

Selepas pemuda ini mengutarakan pendiriannya barulah saya memberikan penjelasan panjang lebar. Bagaimanapun saya belum berhasrat menyebutnya di ruangan ini, cukuplah saya dedahkan betapa kecewanya pemuda profesional ini dengan apa yang berlaku di hadapan matanya.

Kesimpulannya, wahai wanita bertudung kembalikan maruah anda dengan tutupan aurat yang sebenarnya, akhlak wanita Islam yang sebenarnya, janganlah merosakkan imej Islam itu dengan maksiat yang amat dimurkai Allah SWT. Sesungguhnya kenikmatan duniawi amat amat sementara, carilah kenikmatan akhirat yang kekal abadi.

Dari sudut hukum pula, hal wanita bertudung yang melakukan maksiat, dosanya sudah tentu lebih hebat dari wanita yang tidak bertudung yang melakukan maksiat. Hal ini boleh difahami dari ayat seperti :-

Ertinya : Wahai isteri-isteri Nabi, barangsiapa di antaramu yang melakukan maksiat dengan jelas, maka di gandakan azab buatmu dua kali ganda" (Al-Ahzab: 59)

Memang benar ayat ini ditujukan khas buat isteri-isteri Nabi SAW disebabkan kemulian dan kedudukan mereka yang sangat mulia, bagaimanapun ayat ini sebenarnya menggariskan bahawa setiap kali bergandanya kemuliaan, maka bergandalah dosanya (jika melakukan maksiat), demikian hukuman ke atas wanita bebas lebih berat dari wanita hamba sahaya di zaman silam. Dikatakan sebabnya adalah kerana bertambahnya mudarat dan penghinaan kepada Nabi SAW (Al-Jami' Li Ahkam AL-Quran ; AL- Qurtubi, 14/ 114 dengan sedikit pindaan )

Demikian jualah bagi wanita bertudung yang telah menaik tarafkan kedudukannya dengan kemuliaan Islam, tetapi kemudiannya melakukan maksiat. Maka jika bersandarkan kaedah di atas, jelaslah dosa mereka bertambah besar kerana maksiat itu sendiri dan merosakkan imej Islam secara jelas. Bertawbatlah. Demikian juga halnya maksiat (termasuk pelaburan internet yang disepakati haram secara sepakat ulama dunia dan Malaysia) yang dilakukan oleh seorang ustaz yang jauh lebih besar dosanya dari dosa oleh lelaki biasa di sebabkan imej dan kedudukan yang dibawanya.

Sekian,

Ust Zaharuddin Abd Rahman

28 April 2007 ( 10 Rabiul Akhir 1428 H)

http://www.zaharuddin.net/